Penerima Malaysia's Rising Star Awards | INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
» BERITA » Penerima Malaysia's Rising Star Awards

Penerima Malaysia's Rising Star Awards

PENGANUGERAHAN MALAYSIA’S RISING STAR AWARD KEPADA PENYELIDIK MALAYSIA YANG DINOBATKAN SEBAGAI PENYELIDIK ELIT TEMPATAN

Penganugerahan sebagai penyelidik elit tempatan merupakan satu pengiktirafan tertinggi dalam sistem pendidikan tinggi negara. Pencapaian ini adalah hasil dari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan sebelum ini seterusnya menjadi pemangkin kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi meningkatkan lagi prestasi penyelidik tempatan di masa hadapan. Penghasilan penyelidikan dan penulisan ilmiah berkualiti seterusnya berjaya diterbitkan serta diindeks ke dalam pangkalan data antarabangsa terkemuka membuktikan bahawa anak tempatan mampu menyaingi saintis terhebat dunia.

Seramai empat belas orang penyelidik negara telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Malaysia’s Rising Star Award kerana menghasilkan artikel yang menerima sitasi penerbitan 1% tertinggi (top 1%) dunia, di ekstrak daripada Essential Science Indicators (ESI) bagi tempoh 2005 hingga 2014 oleh agensi pengindeksan antarabangsa Thomson Reuters yang berpengkalan di New York, Amerika Syarikat.  Penerima yang terpilih adalah penulis utama (reprint author) artikel yang paling kerap digunakan sebagai rujukan oleh penyelidik-penyelidik di seluruh dunia merangkumi 21 bidang penyelidikan. Penganugerahan Malaysia’s Rising Star Award ini disampaikan oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi pada 3 September 2015 bersempena Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Penerbitan Jurnal Berimpak Tinggi di Aseania Resort & Spa, Langkawi, Kedah.

Mereka yang telah menerima anugerah sebagai Malaysia’s Rising Star Award adalah Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil H P Shawkataly, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, Profesor Dr. Abd Karim Alias, Profesor Dr. Hazizan Md Akil, Profesor Madya Dr. Mohd Roslee Othman dan Profesor Dr. Wan Saime Wan Ngah, masing-masing dari USM; Profesor Dr. Wan Mohd Ashri Wan Daud dari UM; Profesor Dr. Siti Kartom Kamarudin dan Profesor Dr. Ishak Hashim dari UKM; Profesor Dr. Luqman Chuah Abdullah dan Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari UPM;  Profesor Madya Dr. Wong Kuan Yew dari UTM dan Puan Norliana Mohd Abbas dari UiTM.

Merujuk kepada pangkalan data Web of Science Thomson Reuters dan Incites, hasil penyelidikan pada tahun 2014 adalah sebanyak 11,479 iaitu telah meningkat sebanyak 6 kali ganda, berbanding 2005 (1,643). Artikel utama (top papers), didefinisikan sebagai artikel yang menerima sitasi penerbitan 1% tertinggi (top 1%) dunia pada tahun yang berkenaan dan kategori bidang, telah meningkat lebih tiga puluh dua kali ganda daripada 4 artikel sahaja pada tahun 2005 kepada 125 artikel utama pada tahun 2014. Lebih daripada separuh artikel utama yang diterbitkan dari tahun 2005 hingga 2014 ini adalah di dalam bidang Tenaga dan ‘Fuel’ dan Kejuruteraan, yang menunjukkan kekuatan penyelidikan negara di dalam bidang tersebut. Kejayaan ini adalah hasil pelaburan kerajaan Malaysia sebanyak RM4.3 billion sejak 2007-2013 kepada sektor pendidikan tinggi.

Kenyataan Mr. Arto Valio, Naib Presiden,  IP & Science ASEAN and North Asia, Thomson Reuters, “Kami sesungguhnya menyokong Malaysia dalam pembangunan penemuan saintifik dan bersedia untuk bekerjasama dengan KPT di dalam mengiktiraf penyelidik-penyelidik tempatan yang bukan sahaja dihormati oleh penyelidik-penyelidik tempatan malahan penyelidik-penyelidik antarabangsa di dalam bidang masing-masing.  Kami sentiasa menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) komuniti penyelidik dan perniagaan Malaysia dan akan terus berganding bahu bersama KPT, institusi-institusi serta syarikat-syarikat di Malaysia bagi membantu mengenal pasti kecemerlangan penyelidikan bertaraf dunia”.


Pengiktirafan ini adalah hasil usaha sama Thomson Reuters dan Pusat Sitasi Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dalam meningkatkan status penyelidik negara dan seterusnya mengiktiraf mereka bukan sahaja di peringkat negara malah antarabangsa.

Pengindeksan jurnal ilmiah ke peringkat antarabangsa adalah aspek terpenting dalam memartabatkan hasil karya para penyelidik tempatan.  Sebanyak 13 jurnal tempatan telah terpilih sebagai penerima Skim Galakan Penerbitan (CREAM) di majlis yang sama hasil daripada aktiviti penyelidikan yang telah memperlihatkan prestasi tinggi di dalam pangkalan data antarabangsa seperti WoS dan SCOPUS.  Sebanyak 3 jurnal tempatan diindeks dalam Web of Science (WoS) dan 10 jurnal tempatan diindeks dalam SCOPUS telah diberikan pengiktirafan melibatkan bidang Sains, Teknologi dan Perubatan (STP) dan Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan (SSSK).

Dari KENYATAAN MEDIA :mohe.gov.my:

 

 

 

Tarikh Input: | Kemaskini: 20/02/2023 | marzieana

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0389467006
SXEUNAY~