Teknologi Filem Tebal Dengan Pengikat Organik Untuk Peranti Elektronik Fleksibel Boleh Cetak | INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
» ARTIKEL » Teknologi Filem Tebal Dengan Pengikat Organik Untuk Peranti Elektronik Fleksibel Boleh Cetak

Teknologi Filem Tebal Dengan Pengikat Organik Untuk Peranti Elektronik Fleksibel Boleh Cetak

Pernahkah anda tertanya-tanya jika litar-litar elektronik boleh dicetak pada pakaian atau kertas? Jawapannya adalah ya, mereka boleh! Teknologi filem tebal digunakan secara meluas untuk menghasilkan peranti elektronik kerana pembikinannya yang mudah. Teknologi ini menggunakan kaedah percetakan skrin, yang merupakan kaedah yang sama yang digunakan untuk mencetak corak pada tekstil seperti baju T. Filem tebal diperbuat dengan mencetak reka bentuk litar ke atas sesuatu substrat menggunakan pes filem tebal berbentuk cecair yang sangat likat yang mengandungi bahan-bahan yang menentukan sifat-sifat filem tebal. Walau bagaimanapun, pes konvensional memerlukan suhu yang tinggi bagi mengikat bahan-bahan aktif pada substrat, dan ini membuatkan mereka tidak sesuai digunakan dalam cetakan fleksibel elektronik, kerana substrat fleksibel seperti filem plastik, kertas dan tekstil tidak dapat bertahan pada suhu yang tinggi.

Projek penyelidikan kami memberi tumpuan kepada inovasi penggunaan minyak “linseed” sebagai pengikat organik atau biasanya dipanggil pengangkut organik untuk menghasilkan pes filem tebal yang boleh dikeringkan atau dibakar pada suhu yang lebih rendah berbanding dengan pes konvensional. Minyak “linseed” sering digunakan sebagai pengeringan minyak dalam lukisan kerana ia mempunyai takat didih 346°C, menjadikannya sesuai digunakan untuk suhu pembakaran lebih rendah. Minyak “linseed stand” mempunyai kelikatan yang lebih tinggi berbanding dengan minyak “linseed” mentah, menjadikan ia lebih sesuai sebagai pengikat organik.

Dengan inovasi ini, kami boleh menghasilkan pes filem tebal yang boleh dibakar pada suhu yang lebih rendah daripada 300°C, dan masih mempunyai ciri-ciri penting yang berkaitan dengan bahan aktif yang digunakan. Satu contoh ialah penggunaan filem tebal ferit untuk meningkatkan prestasi antena tampal, khususnya antena jalur lebar. Apabila filem tebal dilapiskan antara filem polimer yang berfungsi sebagai substrat, dan tampalan perak yang akan memancarkan isyarat antena, ia telah terbukti mampu meluaskan jalur lebar lebih daripada 30%. Ini merupakan peningkatan yang ketara untuk antena tampal yang selalunya diketahui mempunyai masalah dengan jalur lebar yang sempit, dan pada masa yang sama mempromosikan potensi pembuatan antena fleksibel atau tahan lasak dalam waktu dekat.

      

 

Dr. Intan Helina Hasan
Pegawai Penyelidik
Laboratori Peranti Fungsian (FDL)
Institut Teknologi Maju, UPM
i_helina@upm.edu.my

Tarikh Input: 11/06/2019 | Kemaskini: 01/08/2019 | nursyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0389467006
C1571843234