Kem Science Is Fun 2017 | INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
» BERITA » Kem Science is Fun 2017

Kem Science is Fun 2017

22 April, 2017 – Institut Teknologi Maju (ITMA) telah menganjurkan satu program yang dinamakan Kem “Science is Fun”. Program ini telah disertai oleh seramai 44 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serdang dan Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor. Program ini telah dilaksanakan dengan melibatkan staf dan pelajar dari ITMA yang bertindak sebagai fasilitator pada program tersebut.

Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah bagi memupuk minat para pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi. Program kali ini telah dibahagikan kepada lima sesi. Sesi pertama diberi nama “Early Science Discovery” dimana para pelajar diperkenalkan kepada tokoh-tokoh ilmuwan bagi bidang sains dan teknologi. Seterusnya, para pelajar diberi peluang bagi menghasilkan jet melalui sesi “Let it fly up to the sky”. Sesi kali ini bagi menguji kecekapan pelajar dalam memastikan jet yang dicipta mampu terbang jauh dan tinggi mengikut hukum fizik.

Pada sesi ketiga, para pelajar diperkenalkan dengan mikroskop melalui sesi yang diberi nama “Let’s see how it’s look?”. Pada sesi ini, para pelajar dapat mengenali jenis-jenis sel dengan bimbingan daripada fasilitator yang juga merupakan pelajar dari ITMA. Para pelajar sangat teruja kerana dapat melihat sendiri mikroorganisma yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar. Program diteruskan lagi dengan aktiviti eskperimen menghasilkan sabun kertas yang diberi nama “Let’s make bubbles”. Aktiviti ini juga dapat memupuk kecenderungan para pelajar dalam aspek penjagaan kebersihan.

Akhir sekali, kecerdasan minda para pelajar diuji melalui aktiviti menyusun cawan polisterin yang diberi nama “How high can you stack?”. Pelajar yang mampu menyusun cawan polisterin paling tinggi dianggap pemenang. Aktiviti ini melibatkan kesan graviti ke atas kestabilan susunan cawan tersebut dan bagaimana para pelajar dapat memastikan susunan cawan tersebut stabil.

Secara keseluruhan, para pelajar sangat teruja dan berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan. Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penyertaan dan sesi bergambar. Diharapkan program seperti ini dapat dianjur pada tahun-tahun akan datang.

Tarikh Input: 27/04/2017 | Kemaskini: 27/04/2017 | marzieana

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0389467006
C1576366808