ITMA Berpeluang Menggunakan Kemudahan Synchrotron Di Thailand | INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
» BERITA » ITMA Berpeluang Menggunakan Kemudahan Synchrotron Di Thailand

ITMA Berpeluang Menggunakan Kemudahan Synchrotron Di Thailand

THAILAND, Januari 2019 - Institut Teknologi Maju (ITMA) berpeluang menggunakan kemudahan di Synchrotron Light Research Institute (SLRI), Thailand pada 21-31 Januari 2019 di bawah Program Mobiliti ITMA.  Seramai 17 orang staf dan pelajar yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Lim Hong Ngee telah menyertai program ini. SLRI terletak di daerah Nakhon Ratchasima, Thailand iaitu kira-kira 250km dari Bangkok. Institusi ini merupakan sebuah organisasi awam di bawah naungan Kementerian Sains dan Teknologi Kerajaan Diraja Thailand dan mengendalikan kemudahan synchrotron yang pertama di Thailand. Mereka menyediakan pelbagai sistem pengukuran seperti seperti XPS, XAS, PEEM dan lain-lain lagi untuk kemudahan penyelidik daripada institusi dan industri tempatan atau luar negara.

Dalam program mobiliti ini, semua peserta diberi penerangan berkenaan keseluruhan sistem. Peserta turut dibawa melawat sekitar dewan eksperimen. Sepanjang program ini, ITMA telah diberi akses bagi aplikasi di Beamline 3, iaitu Photoemission Electron Spectroscopy (PES), dan Beamline 5, iaitu X-ray Absorption Spectroscopy (XAS). Tujuan utama program ini adalah untuk mempelajari kemudahan synchrotron lebih lanjut serta menjalankan pengujian sampel. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara dua pihak yang telah terjalin sejak tahun lepas.

Sejumlah 180 sampel berjaya diuji secara percuma dengan bantuan saintis-saintis SLRI. Para peserta bukan sahaja berpeluang mempelajari sistem pengujian secara teori tetapi turut mempelajari teknik menganalisis data dan fitting graf yang amat penting bagi tujuan penerbitan. Mereka dibantu oleh saintis-saintis seperti Dr. Hideki Nakajima dan Dr. Narong Chanlek.

Selain itu, para peserta juga mendapat pendedahan mengenai sejarah serta budaya masyarakat tempatan. Peserta berpeluang mengunjungi Sirindhon Learning Park yang terdiri daripada Muzium Teknologi Kuno Thai, Muzium Pengajian Thai dan Taman Rama-Rama.Secara keseluruhannya, program ini memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu dan mengeratkan hubungan antara dua institusi. Ini merupakan langkah awal untuk jaringan kerjasama penyelidikan yang lebih erat dan bakal diperkukuhkan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tidak lama lagi. Terima kasih kepada Dr. Wutthikrai Busayaporn selaku koordinator keseluruhan program atas layanan baik kepada semua peserta.

 

Tarikh Input: 20/03/2019 | Kemaskini: 18/05/2023 | nursyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
INSTITUT TEKNOLOGI MAJU
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0389467006
SXEaNAW~